Sempena nama sebuah gunung yang tegak berdiri di Langkawi walaupun disumpah 7 keturunan!

Ahad, 11 Mei 2008

Alih ladang babi ke kawasan bukan Islam

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor disaran mengalihkan projek ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta di Sepang ke kawasan yang majoriti penduduknya terdiri daripada mereka yang memakan daging haiwan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, projek itu tidak sesuai dilaksanakan di Sepang kerana ia boleh mengundang banyak masalah terutamanya dari segi sensitiviti orang Melayu yang juga majoriti penduduk di daerah itu.

Ini kerana, katanya, babi tetap merupakan haiwan yang diharamkan ke atas umat Islam dan sudah tentu penduduk tidak mahu projek berkenaan dilaksanakan di kawasan mereka walaupun dikendalikan secara moden.

“Siapa mahu ladang babi diwujudkan di kawasan berhampiran penempatan mereka yang dikhuatiri akan menjejaskan persekitaran dan kualiti hidup seperti bau dan pencemaran air seperti kes-kes yang pernah dilaporkan sebelum ini.

“Malah saya pasti mereka yang memakan babi juga tidak mahu keadaan sedemikian berlaku pada mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu mengadakan kajian mendalam dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum melaksanakan projek tersebut termasuk memindahkannya ke kawasan lain.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri itu berkata demikian ketika mengulas cadangan kerajaan negeri yang bersetuju untuk meneliti semula projek penternakan babi di Sepang bagi memenuhi keperluan penduduk khususnya di Selangor.
Projek berkenaan pernah dicadang dan dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu yang melibatkan pelaburan sebuah syarikat swasta tempatan yang menggunakan teknologi dari Jerman.
Bagaimanapun, projek tersebut tidak dilaksanakan kerana ia ditolak oleh kerajaan negeri ketika itu atas sebab-sebab tertentu.

Abdul Rahman turut berkata, pelaksanaan projek tersebut jika diteruskan juga oleh kerajaan negeri, haruslah berasaskan pada keperluan penduduk di Selangor sahaja supaya negeri itu tidak menjadi pengeluar babi utama.

Tiada ulasan: